Dua Kejahatan Di segerakan Balasannya di Dunia
by Abu Basyer on Friday, October 8, 2010 at 3:06pm

Sahabat yang dirahmati Allah,
Sabda Rasulullah bermaksud: “Dua kejahatan yang disegerakan balasan di dunia adalah zina dan menderhaka kepada dua ibu bapa.”
(Hadis riwayat at-Tirmizi)

Berdasarkan hadis di atas jelaslah bahawa balasan kepada kedua-dua maksiat tersebut di atas akan mendapat balasannya secara tunai di dunia ini sebelum azab yang lebih dahsyat akan diterimanya di hari akhirat nanti.

Dua dosa besar iaitu melakukan zina dan menderhaka kepada dua orang tua adalah perbuatan dosa yang tidak ditangguhkan Allah hingga hari kiamat tetapi diberi balasan kerana perbuatan tersebut meroskan keturunan dan menafikan hak dan kemuliaan orang tua yang melahirkan dan membesarkannya.

Pertama : Kejahatan  zina.

Dalam sebuah hadis, baginda s.a.w. ada bersabda maksudnya : "Wahai orang yang beriman, takutilah kamu akan zina, kerana akibat daripadanya ada enam perkara, tiga di dunia dan tiga lagi akan berlaku di akhirat.

Ada pun yang berlaku di dunia ialah :

1. Kehilangan keceriaan wajah,

2. Pendek umur dan

3. Sentiasa dalam keadaan susah.

Manakala tiga balasan di akhirat ialah :

1. Kemurkaan Allah,

2. Balasan yang buruk, juga

3. Azab di Neraka. "

Rasulullah menjelaskan bahawa apabila seseorang itu berzina, maka akan keluarlah iman daripada dirinya seumpama awan yang melindungi atas kepalanya, kemudian apabila ia hilang, iman itu kembali semula.

Dalam sebuah hadis lain, riwayat Al-Hakim, baginda bersabda maksudnya :  "Barangsiapa berzina ataupun minum arak, Allah cabutkan daripadanya iman, seumpama manusia menanggalkan pakaian daripada kepalanya."

Hadis-hadis di atas dan juga hadis-hadis lain menyatakan bahawa seorang hamba yang melakukan zina, imannya telah keluar daripada dirinya. Bermaksud andainya dia benar-benar beriman kepada Allah, dia tidak akan berzina.

Apabila seseorang itu telah terjebak dengan zina, dia akan ketagih dan sentiasa terangsang. Tidak ada sesuatu pun yang hendak ditakutkan, lebih-lebih lagi sekiranya kedua-dua pihak pandai menyimpan rahsia, tidak mengandung dan tidak ditangkap basah.  Walaupun demikian, sekiranya seseorang itu benar-benar beriman kepada Allah dan memahami hukum syariah, dia akan memahami bahawa zina itu adalah termasuk dalam salah satu dosa besar yang membinasakan.

Sekiranya seseorang itu terlepas daripada balasan dunia, kerana undang-undang itu tidak dilaksanakan, tiada undang-undang zina atau kerana sebab lain, balasan di akhirat tetap sedia menanti kecuali mereka yang bertaubat.

Dalam riwayat dalam hadis Nabi s.a.w menceritakan kisah dizaman Bani Israel terdapat seorang lelaki yang telah beribadah selama 60 tahun penuh apabila dia melakukan zina dan mati sebelum bertaubat, apabila ditimbang amalannya yang 60 tahun masih itu berbanding dengan dosa zina yang pernah dia kerjakan maka dosa zina itu lebih berat.

Allah berfirman maksudnya : "Mereka yang tidak menyembah Tuhan yang lain selain Allah, dan tidak membunuh jiwa yang diharamkan Allah kecuali dengan alasan yang benar, dan tidak berzina, barang siapa yang melakukan demikian, nescaya dia mendapat balasan dosanya, akan digandakan azab untuknya pada hari kiamat dan dia akan kekal dalam azab itu dalam keadaan hina, kecuali mereka yang bertaubat, beriman dan mengerjakan amalan soleh, kejahatan mereka diganti oleh Allah dengan kebajikan. Allah maha pengampun lagi maha penyayang."
(Surah al- Furqan ayat 68-70).

Bukan sahaja perbuatan zina itu larangan Allah, bahkan berjinak-jinak dengan punca-punca terjadinya zina juga dilarang.

Firman Allah s.w.t maksudnya : "Jangan kamu hampiri perbuatan zina kerana ia adalah kejahatan yang sangat keji dan sejahat-jahat jalan."
(Surah Al-Isra’ ayat 32)

Imam Ahmad mengatakan:
”Aku tidak tahu ada dosa yang lebih besar setelah membunuh jiwa daripada zina.”

Kepapaan boleh berlaku kerana perbuatan zina menyebabkan lahirnya anak zina yang tiada hak untuk mendapat harta pusaka.

Sabda Rasulullah s.a.w maksudnya :  ”Yang paling banyak menjerumuskan manusia ke dalam Neraka adalah mulut dan kemaluan.” (Riwayat Tirmizi)

Ibnu Mas’ud r.a berkata: ”Tidaklah muncul riba dan zina pada suatu daerah kecuali Allah akan mengizinkan kehancurannya.”

Akibat daripada berleluasanya zina maka lahir penyakit berjangkit dan kerosakan akhlak dalam masyarakat. Ia menimbulkan pecah belah keluarga dan krisis rumah tangga. Dan kerosakan keturunan manusia dengan lahirnya anak tak sah taraf (anak luar nikah).  Kesemua ini menyebabkan keruntuhan budaya dan tamadun hidup manusia. Apabila berlaku demikian, hati tertutup untuk menerima  taufiq dan hidayah daripada Allah s.a.w. Memohonlah keampunan daripada Allah s.w.t. atas segala kemungkaran yang telah dilakukan dengan sebenar-benar taubat (taubat nasuha).

Islam memandang jenayah zina sebagai satu jenayah yang sangat keji dan tidak bermoral. Ia bukan sahaja membiakkan penyakit berjangkit seperti AIDS dan Siplis tetapi juga merosakkan sistem kekeluargaan, menghancurkan rumahtangga, menimbulkan ketidakharmonian dalam masyarakat, melahirkan jenayah rogol yang berleluasa, wujudnya anak luar nikah tanpa bapa sekaligus membawa kepada pembunuhan bayi yang tidak berdosa.

Sabda Nabi s.a.w maksudnya : "Jika zina dan riba' sudah muncul di suatu qaryah bererti mereka sudah menghalalkan diri mereka untuk diseksa oleh Allah s.w.t."

Sabda Nabi s.a.w lagi maksudnya : “Tidak ada sebarang dosa yang lebih besar selepas syirik selain daripada setitik air mani yang ditumpahkan oleh seseorang ke dalam rahim yang tidak halal baginya”.

Sebuah lagi hadis maksudnya : “ Sesungguhnya tujuh petala langit dan bumi mengutuk orang yang berzina dan bau kemaluan pelacur di dalam Neraka dapat mengganggu ahli Neraka kerana sangat busuknya. ”

Firman Allah s.w.t maksudnya : "Dan janganlah kamu menghampiri zina, (kerana) sesungguhnya zina itu adalah satu perbuatan keji dan membawa kerosakkan."
(Surah Al-Israk ayat 32)

Berdasarkan ayat ini apa sahaja perbuatan yang boleh membawa kepada gejala zina seperti pergaulan bebas lelaki dan perempuan, pendedahan aurat, membaca buku-buku dan majalah lucah, melawati laman-laman web lucah serta menonton VCD / DVD yang membangkitkan selera syahwat hukumnya adalah haram.

Sahabat,
Marilah kita jauhi dan cuba membaiki masyarakat kita supaya gejala sosial yang parah seperti berzina ini dapat kita elakkan berlaku. Semua pihak samaada ibu bapa, guru-guru, jabatan agama Islam, jemaah Islam, persatuan bukan kerajaan (Islam), pihak penguasa polis . Rela,  majlis perbandaran dan ahli jawatan kuasa masjid hendaklah bersatu tenaga menyekat dan menghalang daripada perkara maksiat berlaku dimerata tempat. Ketegasan pihak berkuasa adalah amat diperlukan untuk mengenakan undang-undang yang lebih tegas untuk mereka-mereka yang berdua-duaan dan menghampiri zina. Sekiranya diperingkat awal dapat dicegah maka gejala zina dan buang anak akan dapat di atasi insya Allah.

Kedua : Kejahatan menderhaka kepada kedua ibu bapa.

Islam meletakkan kewajipan terhadap setiap anak agar mentaati ibu dan bapa. Perintah itu bukan setakat meletakkan seseorang anak melakukan kebaikan, tetapi sebagai bukti keimanan dan ketaqwaan.

Sesiapa yang menderhaka terhadap ibu bapanya bakal menjerumuskan dirinya ke dalam api Neraka.

Firman Allah bermaksud: “Kami perintahkan kepada manusia supaya berbuat baik kepada kedua- dua ibu bapa.”
(Surah al-Ahqaaf, ayat 15)

Firman-Nya lagi bermaksud: “Sembahlah Allah dan janganlah kamu menyekutukan-Nya dengan sesuatu pun. Dan berbuat baiklah kepada kedua-dua ibu bapamu, kaum kerabat, anak yatim, orang miskin, jiran tetangga sama ada yang dekat atau yang jauh, rakan karib dan ibnu sabil, serta hamba sahaya.”
(Surah an-Nisa, ayat 36)

Jelas, betapa pentingnya setiap anak menghormati ibu bapanya. Sesiapa yang derhaka terhadap ibu bapanya, maka Allah memberi balasan azab di dunia lagi.

Rasulullah menjelaskan orang yang tidak menghormati orang tua sebagai bukan daripada golongan Muslim.

Sabda Rasulullah bermaksud: “Bukanlah daripada golongan kamu, sesiapa yang tidak menghormati orang tua kami dan tidak pula mengasihi anak kecil kami.”
(Hadis riwayat Tabrani).

Hadis itu menjelaskan ‘tidak menghormati orang tua’ sudah dianggap boleh bukan daripada golongan Muslim. Apa lagi jika tidak menghormati orang tua yang menjadi ibu bapa sendiri. Kini menular gejala anak menganggap satu beban terpaksa menjaga atau melayan kerenah ibu bapa atau salah seorangnya. Tidak kurang juga kes anak menjadikan ibu atau bapa tidak ubah seperti orang gaji.

Menyakiti hati ibu bapa satu dosa besar. Apatah lagi dalam kes yang mana anak melakukan perbuatan yang mencederakan fizikal ibu bapa. Undang-undang manusia juga melarang sebarang perbuatan mencederakan fizikal terhadap seseorang. Hukuman daripada Allah tentulah lagi besar menanti di akhirat.

Anak derhaka kepada ibu bapa tidak mendapat berkat dalam kehidupan. Perhatikan nasib mereka yang membelakangi ibu bapa dalam kehidupan. Biarpun, secara luaran nampak ceria dan berjaya, hakikatnya mereka dalam pembalasan daripada Allah.

Pelbagai bentuk pembalasan daripada Allah diperlihatkan kepada anak derhaka. Kemelut kehidupan yang dihadapi kebanyakan manusia sekarang berpunca daripada menderhaka kepada ibu bapa.

Allah bukan saja melarang melakukan perbuatan yang secara nyata menyakiti hati dan fizikal ibu bapa, bahkan menyebut perkataan ‘kasar’ juga ditegah. Allah memerintahkan agar anak bercakap dengan bahasa yang baik dengan ibu bapa.

Firman Allah bermaksud: “Tuhanmu telah memerintahkan, supaya kamu tidak menyembah selain Allah, dan hendaklah berbuat santun terhadap kedua orang tua. Jika salah seorang telah lanjut usianya, atau kedua-duanya telah tua, janganlah sekali-kali engkau berani berkata ‘ah’ terhadap mereka dan janganlah engkau suka menggertak mereka. Tetapi berkatalah dengan sopan santun dan lemah lembut.”
(Surah al-Isra, ayat 23).

Kewajipan anak terhadap ibu bapa berterusan biarpun ibu bapa sudah lama meninggal dunia.

Ketika ditanya oleh seorang sahabat daripada kaum Ansar mengenai masih adakah tanggungjawabnya terhadap ibu bapa yang sudah meninggal dunia, Rasulullah menjawab dengan sabdanya bermaksud: “Ada, iaitu berdoa, beristighafar untuk kedua-duanya, menyempurnakan janji, memuliakan sahabat taulan kedua-duanya dan menyambungkan silaturahim yang tidak sempat dijalinkan oleh kedua-duanya.”
(Hadis riwayat Abu Daud dan Ibnu Majah).

Sesungguhnya beruntunglah sesiapa yang memiliki anak yang soleh yang memberikan balasan kebaikan kepadanya biarpun sesudah meninggal dunia. Anak soleh adalah kebaikan yang tidak putus-putus pahalanya.

Sabda Rasulullah bermaksud: “Apabila meninggal seseorang itu, maka terputuslah segala amalannya, melainkan tiga perkara iaitu sedekah jariah yang berterusan memberi manfaat, ilmu yang memberi kebaikan diajarkan kepada orang lain dan anak yang salih yang sentiasa mendoakan kebaikan kepada kedua ibu bapanya.” (Hadis riwayat Muslim).

Daripada Abdullah bin ‘Amru bin al-‘As r.a., bahawa sesungguhnya Rasullullah SAW bersabda: “Sesungguhnya diantara dosa-dosa besar ialah seseorang itu melaknat (mencaci maki) kedua-dua orang tuanya (ibu bapanya),” lantas ditanyakan kepada baginda: “Wahai Rasulullah, bagaimanakah seseorang boleh melaknat (mencaci maki) ibu bapanya sendiri?”.

Lalu Rasulullah SAW menjawab: “Seseorang melaknat (mencaci maki) ibu atau bapa orang lain (kerana sebab-sebab tertentu), maka orang tersebut membalas cacian itu dengan mencaci maki (melaknat) ibu bapa yang mencacinya”.

Berdasarkan kepada hadis tersebut juga maka dapat disimpulkan bahawa Islam bukan sahaja menjadikan perbuatan menderhaka kepada ibu bapa sebagai dosa besar, malah perbuatan mencaci maki, laknat melaknat yang menbabitkan mereka juga dikategorikan sebagai dosa besar.

Caci maki ibu bapa orang lain, serupa mencaci ibu bapa sendiri. Sesorang mungkin tidak menyedari bahawa dengan mencaci maki ibu bapa orang lain juga dikira seolah-olah mencaci ibu bapa sendiri. Itu semua tidak sepatutnya berlaku di kalangan orang-orang yang mengaku beriman kepada Allah dan hari akhirat.

Sabda Rasulullah s.a.w yang bermaksud :
“ Barangsiapa membuat ibu bapanya gembira (memberi keredhan), maka sesungguhnya ia membuat redha Allah. Barangsiapa menyakitkan hati ibu bapanya, maka sesungguhnya ia membuat kebencian Allah”
(Hadis riyawat Imam Bukhari )

Nabi s.a.w bersabda yang bermaksud :
“ Dosa yang paling besar ialah mensyrikkan Allah , derhaka pada ibu bapa dan membunuh orang”
(Hadis riwayat Anas bin Malik)

Sahabat yang dikasihi,
Banyak kita mendengar kisah-kisah benar berlaku apabila seseorang menderhaka kepada kedua ibu bapanya maka balasannya akan diterima di dunia lagi secara tunai. Kisah seorang sahabat Nabi s.a.w bernama 'Alaqamah telah menyakiti hati ibunya bila di saat dia nazak dia tidak dapat mengucapkan kalimah syahadah hinggalah ibunya memaafkannya barulah dia boleh mengucapkan kalimah syahadah.

Kisahnya seperti berikut :
Pada suatu ketika di zaman Rasulullah s.a.w , seorang sahabat Rasulullah s.a.w bernama ‘Alaqamah, apabila ajalnya sudah hampir tiba , keluarganya sudah berkumpul dan mereka mengajarkan untuk mengucapkan kalimah “Laa ilaaha illallaah” beberapa kali tetapi sia-sia. Mulut ‘Alaqamah terkunci. Akhirnya mereka sampaikan kepada Rasulullah s.a.w , dan baginda menyuruh beberapa orang sahabat melihat akan hal itu, keadaan ‘Alaqamah tetap seperti itu juga tidak berubah , mulutnya tetap terkunci.

Nabi s.a.w menyuruh agar membawa ibunya kepada baginda .Setelah tiba ibu ‘Alaqamah ,baginda bertanya mengenai diri ‘Alaqamah, dan ternyata dia agak kecil hati pada anaknya , dan dia tidak mahu mema’afkan kesalahannya.

Dengan helah Nabi s.a.w mengatakan kepada para sahabat yang ada di sana, supaya mengumpulkan kayu kering, dan tatkala di tanya sahabat apa gunanya, Nabi s.a.w mengatakan untuk pembakaran ‘Alaqamah di hadapan ibunya. Mendengar yang ‘Alaqamah akan di bakar, maka ibunya dengan menangis, mengatakan, agar janganlah anaknya di bakar, dan dia bersaksi kepada Allah dan Muslimin yang ada di majlis itu mengatakan redhalah akan ‘Alaqamah, dan mema’afkan akan dia.

Setelah itu Nabi s.a.w menyuruh sahabat menjenguknya . Belum sempat mereka mengajarkannya lantas ‘Alaqamah terus mengucapkan kalimah “Laa ilaaha illa llaah” dengan fasih dan lancar , dan dia pun mati dalam kalimah itu.

Sahabat,
Hanya mereka-mereka yang beriman dan bertaqwa saja dua kejahatan yang termasuk di dalam dua dosa besar dan disegerakan balasannya di dunia ini dapat dijauhi. Keran iman yang tertaman dihati ini akan melahirkan jiwa yang taat dan patuh kepada Allah s.w.t. dan menjauhi segala dosa dan larangan daripada Allah s.w.t. Jika kita telah melakukan kesalahan dan dosa segeralah bertaubat kepada Allah s.w.t  dan mohonlah ampun kepada kedua ibu bapa sebelum mereka kembali menemui Allah s.w.t dan ketika itu penyesalan tidak berguna lagi.

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Ziarah Makam di Masjid Kg Hulu Melaka

Islam MeLarang Ibu Bapa Mencaci / Menyumpah Anak - PART 1 - ( UPDATED 30-1-2020 )

Buku Iqra