Wednesday, December 31, 2014

Ikhtiar, Syukur, Berserah

Ikhtiar itu adalah jalan untuk kita bersyukur atas kemurahan Allah Taala. Bukan dengan berserah membabi buta. Berserah membabi buta itu membawa kita kepada menafikan kemurahan Allah Taala. Syukur dengan kurniaan kebebasan memilih itu adalah untuk menambahkan lagi kesyukuran kita kepada kurniaan dan kemurahan Allah Taala. Makanya setiap detik perbuatan kita itu dapat membawa kita kepada Akhlak Nabi Muhammad Rasulullah SAW.

Thursday, December 11, 2014

Hikmah: Telah aku derhaka kepada suami

Hikmah: Telah aku derhaka kepada suami

Ketika aku sedang menanti teman menjemputku di masjid, aku melihat seorang wanita berjilbab seperti menunggu seseorang juga. Lalu aku menegurnya untuk berbual bual. Selepas bertanya khabar dan berbual seketika, tiba2 wanita itu bertanya kepadaku: “Cik sudah berkahwin?” Jawabku: “Belum.” Dan aku bertanya pula kepadanya: “Tunggu siapa?” Jawabnya: “Menunggu suami.”
Aku melihat wanita ini membawa beg laptop dan satu beg yang besar. Seperti wanita berkarier. Lalu aku beranikan diri untuk bertanya: “Kakak kerja di mana?” “Alhamdulillah sejak dua jam tadi, secara rasminya saya tidak bekerja lagi”, jawabnya dan terpancar sinar kegembiraan di wajahnya. Lalu aku bertanya: “Kenapa?”. Jawabnya tegas: “Ini adalah langkah awal supaya wanita yang berkarier lebih taat kepada suaminya.” Aku kehairanan dengan jawapannya apatah lagi melihat dia tersenyum.
“Saudari boleh saya ceritakan kenapa. Semoga ia boleh dijadikan pelajaran yang baik untuk saya”, kataku lagi. Wanita itu mula bercerita: “Saya bekerja di pejabat yang mana gaji saya sepuluh kali ganda lebih besar dari suami. Suami saya di waktu pagi berniaga roti bakar dan di waktu petang berniaga ais cendol. Kami baru bernikah tiga bulan lalu dan kelmarin buat pertama kalinya saya menangis kerana merasa derhaka kepada suami. Saudari tahu kenapa?”, dia bertanya.
“Waktu itu jam tujuh malam suami saya akan menjemput saya seperti biasa di pejabat. Kebiasaannya jam empat petang saya sudah pulang tapi pada hari itu kerja saya sangat banyak. Sampai di rumah saya kepenatan. Kerana kepenatan kepala saya begitu pening. Kebetulan suami saya beritahu badannya seperti berangin dan sakit kepala juga. Dia meminta saya mengambilkannya air segelas. Saya kata saya sangat keletihan dan memintanya mengambil sendiri.”
“Jam 11.30 malam baru saya tersedar dan cepat-cepat menunaikan solat Isyak. Selepas solat saya melihat suami sudah lena tidur. Saya ke dapur dan melihat pinggan mangkuk sudah dicuci. Pakaian kami sudah dibasuh. Siapa lagi yang buat jika bukan suami saya. Astagfirullah, saya baru teringat, bukankah suami saya juga beritahu dia juga sakit kepala. Rasa hiba mula saya rasakan. Lalu saya ke bilik untuk menerangkan kepadanya keadaan saya tadi. Saya tengok dia lena dan saya pegang wajahnya. MasyaAllah panas sungguh badannya. Dia demam panas.Saya teringat kata-kata terakhirnya sebelum saya tertidur tadi. Dia hanya menyuruh saya mengambilkannya air saja tapi saya membantahnya. Air mata saya ini menitis mengenangkan saya melupakan hak-hak suami saya,” ujarnya.
Subhanallah, aku melihat kakak ini bercerita dengan semangatnya, membuat hati ini sayu. Dan dapat ku lihat titisan air mata yang diusapnya.
Sambungnya lagi: “Dengan gaji yang saya miliki, saya merasa tak perlu meminta nafkah pada suami kerana gaji saya jauh lebih besar dari suami apatah lagi yang diberikan kepada saya nilainya begitu sedikit. Tapi suami selalu memberikan hasil jualannya dengan ikhlas dari lubuk hatinya. Setiap kali memberikan hasil jualannya, dia selalu berkata: ‘Umi, ini ada sedikit rezeki dari Allah. Ambil ya. Buat keperluan kita. Walaupun tidak banyak jumlahnya, mudah-mudahan Umi redha’, begitulah kata suami saya. Saat itu saya baru merasakan betapa harta ini membuat saya sombong dan derhaka pada nafkah yang diberikan suami saya, dan saya yakin hampir tidak ada wanita berkarier yang selamat dari fitnah ini.”
Wanita itu berkata: “Alhamdulillah saya sekarang saya sudah berhenti kerja, mudah-mudahan saya lebih tahu menghargai nafkah yang diberikan suami. Memang sifat wanita sering susah hati jika tanpa harta, dan kerana harta juga wanita sering lupa pengorbanan seorang suami. Saya berkunjung ke rumah orang tua saya dan menceritakan niat saya ini. Saya sedih mereka dan saudara-mara tidak bersetuju niat saya untuk berhenti kerja. Mereka membanding-bandingkan pekerjaan suami saya dengan suami-suami yang lain.”
“Saudari tahu, saya hanya mampu menangis saat itu. Saya menangis bukan kerana apa yang dikatakan keluarga saya itu benar, demi Allah bukan kerana itu. Tapi saya menangis kerana imam saya (suami) sudah dipandang rendah oleh mereka. Bagaimana mungkin mereka meremehkan setiap titis keringat suami saya, padahal dengan titisan keringat itu, Allah memandangnya mulia! Bagaimana mungkin mereka menghina orang yang sentiasa membangunkan saya untuk sujud di malam hari? Bagaimana mungkin mereka menghina orang yang dengan kata-kata lembutnya selalu menenangkan hati saya? Di saat kebanyakan orang lebih memilih jadi penganggur tetapi suami saya, tak ada rasa malu baginya untuk menafkahi isteri dengan nafkah yang halal. Itulah yang membuat saya begitu bangga pada suami saya”, sambungnya lagi.
“Suatu hari nanti jika saudari mendapat suami seperti suami saya, saudari tidak perlu malu untuk menceritakannya pekerjaan suami pada orang lain. Bukan masalah pekerjaannya tapi masalah halalnya, berkatnya dan kita memohon pada Allah semoga Allah menjauhkan suami kita dari rezeki yang haram,” kata-kata terakhirnya sambil tersenyum manis padaku.
Ku lihat dari kejauhan seorang lelai dengan menggunakan motor buruk menghampiri ke arah kami, wajahnya ditutupi kaca helmet. Sambil mengucapkan salam, wanita itu meninggalkanku. Wajah wanita itu tenang sekali, wajah seorang isteri yang begitu redha.
Ya Allah… Sekarang giliran aku yang menangis. Hari ini aku dapat pelajaran paling berkesan dalam hidupku. Pelajaran yang membuatku menghapuskan persepsi untuk mencari orang-orang kaya sebagai calon suamiku yang selalu bermain dibenak pemikiranku selama ini. Subhanallah.. Alhamdulillah.. Laa ilaaha illallah.. Allahuakbar..
P/S: Semoga pekerjaan, harta dan kekayaan tak pernah menghalangimu untuk tidak menerima pinangan dari lelaki yang baik agamanya.

KIsah 3 Pemuda Terperangkap Dalam Gua

KIsah 3 Pemuda Terperangkap Dalam Gua



Daripada Abu Abdurrahman, Abdullah bin Umar bin Khattab r.a berkata bahawa beliau mendengar Rasulullah s.a.w bersadba: 

Dahulu ada tiga orang berjalan-jalan kemudian mereka pergi ke sebuah gua untuk berteduh, maka mereka pun masuk ke dalamnya. Kemudian dengan tiba-tiba ada batu dari atas bukit yang bergolek dan menutup pintu gua itu sehingga mereka bertiga tidak dapat keluar dari gua. Salah seorang daripada merek berkata : 'Sesungguhnya tidak ada yang dapat menyelamatkan kamu daripada bencana ini kecuali apabila kamu berdoa kepada Allah s.w.t dengan menyebutkan amalan-amalan soleh yang pernah kamu lakukan'


Pemuda 1 : Kasihkan Ibubapa

Salah seorang daripada mereka kemudian berdoa : 'Ya Allah, saya mempunyai ibu dan ayah yang sangat tua. Saya biasa memberi minuman susu buat mereka dahulu sebelum saya berikan kepada keluarga dan anak-anak saya. Pada suatu hari, saya terlambat balik daripada mencari kayu api dan saya dapati kedua-dua ibubapa saya telah pun tidur. Saya terus memerah susu untuk ibubapa saya minum. Oleh kerana mereka telah tidur, saya tidak mahu mengejutkan mereka supaya bangun kemudian saya berjanji dalam diri tidak akan memberi minum susu itu kepada keluarga mahupun anak-anak saya sehingga ibubapa saya bangun dari tidur.'

'Saya menunggu dengan sabar namun mereka tidak juga terjaga dan bangun. Ketika sedang menunggu mereka, anakku menangis dan datang kepadaku kerana inginkan susu namun aku tetap berpegang kepada janjiku iaitu tidak akan memberi minum kepada sesiapa jua sehingga ibubapaku minum. Setelah mereka berdua bangun, maka ku berikan keduanya minum susu tersebut. Ya Allah, jika saya berbuat begitu kerana mengharapkan wajahMu maka gerakkanlah batu yang menutupi gua ini.' Maka dengan tiba-tiba bergeraklah sedikit batu tersebut namun masih belum cukup untuk membolehkan mereka keluar dari gua.


Pemuda 2 : Ku Tolak Zina

Orang yang kedua kemudian berdoa pula dengan merayu dan bermunajat kepada Allah sebagaimana orang pertama tadi. 'Wahai Allah, sesungguhnya saya mempunyai sepupu perempuan yang sungguh cantik dan aku mencintainya. Aku seringkali mengajaknya berzina denganku tetapi dia sering menolaknya. Suatu hari dia ditimpa kesusahan dan meminta bantuan kepadaku. Lalu aku berikan kepadanya 120 dinar dengan syarat dia berzina denganku. Oleh kerana terdesak maka dia pun bersetuju. Ketika kami hampir melakukan perbuatan yang terkutuk itu dan aku berada di antara kedua-dua belah kakinya, dia lalu berkata: Takutlah kepada Allah dan janganlah engkau melakukannya melainkan dengan cara yang benar dan halal. 

Aku kemudian tersentak kerana terdengar kalimah Allah darinya. Nafsuku menurun dan aku lantas meninggalkannya dengan wang tersebut padahal dia seorang yang amat aku cintai. Wahai Allah, jika saya meninggalkan zina kerana takut kepadaMu dan mengharap redhaMu maka gerakkanlah batu yang menutupi gua ini. ' Tiba-tiba batu itu bergerak sedikit namun masih belum membolehkan mereka bertiga keluar dari gua itu.


Pemuda 3 : Gajimu Seluruh Harta Ini

Orang yang ketiga pula berdoa: 'Ya Allah, saya telah menggaji beberapa orang pekerja dan  semuanya saya bayar gaji mereka dengan sempurna kecuali ada seorang pekerja yang menghilangkan dirinya, meninggalkan saya dan tidak mengambil gajinya terlebih dahulu. Kemudian gajinya itu saya laburkan dalam penternakan sehingga lama-kelamaan ternakan itu menjadi banyak dan beranak-pinak. Beberapa tahun kemudian bekas pekerja saya itu datang dan menuntut gajinya suatu masa dahulu. Saya pun memberikan segala hasil penternakan berupa lembu, kambing unta dan juga pengembala itu sebagai gajinya tanpa mengurangkan sedikit pun kerana penternakan itu adalah dari gaji asalnya. Ya Allah, sesungguhnya aku lakukan itu kerana mengharapkan redhaMu, maka gerakkanlah batu itu.' Maka batu itu pun bergerak sepenuhnya dan mereka dapat keluar dari gua tersebut. 

(Riwayat al-Bukhari no.2272, Muslim no.2743 dan Ahmad 2/116)