Kisah Sufi
Allah Berada Dalam Seruan Kita
Adalah diceritakan oleh Syeikh Jalaludin Rumi dalam kitabnya berjudul Mathnawi, bahawa suatu malam seorang hamba Allah menyeru dan berzikir dengan menyebut nama "Allah, Allah, Allah" beribu kali. Maka datanglah Iblis kepada hamba Allah itu lalu membisikkan kepadanya,
"Wahai orang yang banyak bercakap, pernahkah Allah menjawab "Aku disini" tak kala engkau memanggilNya atau menyebut namaNya? Bukankah tidak ada satu jawapan pun yang engkau dengar? Berapa lama lagikah engkau hendak menyebut nama Allah itu? Bukankah sia-sia sahaja kerja engkau itu?
Si hamba Allah ini pun lalu terpengaruh dengan kata-kata itu. Ternyata bisikan iblis itu masuk juga pada akalnya, dan terasa juga ia akan kebenaran kata-kata itu. lalu ia pun tidur.
Dalam tidur itu dia bermimpi bertemu dengan nabi Khaidir. Nabi Khaidir berkata kepadanya, "kenapa engkau berhenti memuji dan menyeru nama Allah? Tidakkah engkau mahu menyebut dan berzikir kepadaNya lagi?"
Si hamba Allah itu pun menjawab, "Aku tidak pernah mendengar jawapan yang mengatakan "Aku disini" daripada Allah. Adakah Allah benci kepadaku?"
Nabi Khaidir berkata "Itu anggapan yang salah. Allah telah berkata bahawa sebutan "Allah" engkau itu adalah jawapan bagi "Aku disini" daripada Allah. Di sebalik setiap seruan "Allah" yang kamu sebut itu, setiap itu pula terdapat jawapan "Aku disini" daripadaNya.
Demikianlah di ceritakan oleh syeikh Jalaludin Rumi. Syeikh besar dari Persia. Mudah-mudahan cerita ini meniup semangat kepada kita untuk terus berzikir kepadaNya.
Ulasan
Catat Ulasan